Panduan

Panduan Ringkas Menulis Puisi


Sebelum menulis puisi:


-          Kenal pasti tema puisi. Elakkan menulis puisi yang bersifat ringan, tertutup (terlalu personal), atau popular seperti cinta remaja, isu remeh dalam persekitaran, dan konflik dalaman yang terlalu bersifat personal dan sukar difahami secara universal oleh pembaca lain. Tiga skop tema yang sentiasa malar hijau adalah : keagamaan, sejarah dan perjuangan, dan sosial-politik.
-          Kenal pasti keperluan puisi terutama jika dihantar untuk pertandingan, misalnya panjang, tema, khalayak sasaran, dan sebagainya.
-          Pastikan anda mengetahui asas unsur sastera yang mudah seperti metafora, simili, personifikasi, dan hiperbola. Ini sudah cukup untuk mendapatkan puisi yang baik.

Mencari Ilham

-          Banyakkan membaca puisi-puisi berkaitan dari penulis-penulis yang berada pada tahap yang lebih baik. Elakkan membaca karya penulis yang setara dengan anda (misalnya yang dilambakkan di web-web tertentu, dan sebagainya) kerana ia tidak membantu meningkatkan kreativiti anda.
-          Banyakkan membaca isu berkaitan puisi yang hendak dihasilkan.
-          Sentiasa mencatat ilham/idea anda. Anda mungkin bermula dengan ilham yang lain, dan akhirnya setelah selesai puisi anda mengambil bentuk yang lain. Proses ini dinamik dan berterusan.
-          Catatkan rangkai kata / metafora / ungkapan yang dirasakan puitis dan relevan dengan puisi yang hendak dihasilkan.

Menulis puisi


-          Jangan tergesa-gesa, puisi tak semestinya siap dengan sekali duduk.
-          Pastikan puisi diedit berkali-kali sesudah selesai

Beberapa perkara yang dapat melemahkan puisi:

- Citra bercampur: ini merujuk kepada penggunaan citra dalam puisi yang tidak selari. Contoh, perhatikan puisi ini.

Matanya bergelora bak lautan
menikam jauh ke dasar hati

Dalam contoh ini, mata yang digambarkan bak lautan itu tidak sepatutnya dipadankan dengan sifat ‘menikam’ kerana perkataan menikam hanya sesuai untuk benda yang tajam. Lebih sesuai ditulis:

Matanya tajam bak pisau
menikam jauh ke dasar hati

- Klise: klise bermaksud suatu ungkapan sudah biasa didengar atau digunakan, meskipun kedengaran puitis. Puisi yang baik perlu membawa kelainan yang kreatif. Contoh ungkapan yang klise: ‘menjentik kalbu’, ‘gunung impian/cita-cita/harapan’, ‘diulit rasa/resah’, ‘seputih/sedingin salju’, dan sebagainya. Kesemua ungkapan ini biasa kita lihat digunakan oleh penulis-penulis baru dan tidak mencerminkan kreativiti dan kelainan dalam puisi.

- Lewah: ini merujuk kepada ungkapan, atau pembentukan ayat yang meleret, tidak ekonomis dari segi penggunaan kata-kata. Contohnya terlalu banyak penggunaan kata ganti nama dan terlalu banyak kata hubung/penanda wacana. Elakkan menghuraikan hal/perkara yang sama berulang kali.

-Ayat langsung: yang membezakan puisi dengan karangan/prosa lain adalah pembentukan ayatnya yang bebas (iaitu tak terikat dengan sifat konvensional sebuah ayat sempurna, yang lengkap dengan kata hubung, penjodoh bilangan, imbuhan dan sebagainya) serta nilai-nilai keindahan yang dibina dengan unsur-unsur sastera seperti metafora, simbol, dan sebagainya. Puisi yang baik, tidak wajar ditulis secara langsung. Lihat contoh bagaimana puisi di bawah sekadar ditulis secara langsung, bahkan boleh diatur menjadi sebuah ayat lengkap biasa.

Hormatilah ibu bapa
kerana mereka telah mendidik kita
sehingga kita berjaya
dan mengenal asal budaya.

Puisi ini secara mudah boleh ditulis menjadi ayat lengkap begini:

Hormatilah ibu bapa kerana mereka telah mendidik kita sehingga kita Berjaya dan mengenal asal budaya.

Ini bermakna puisi di atas sekadar satu ayat langsung yang dipenggal-penggal dan disusun dalam bentuk puisi. Puisi sebegini rendah nilai estetika dan keindahannya.

-Pengguna bahasa pasar: Puisi yang bermutu menggunakan bahasa yang baik. Jauhi bahasa pasar, atau ejaan yang tidak standard seperti ‘sy’, ‘saye’, ‘x’(untuk tidak/tak), dan sebagainya.

-Teknik pengulangan yang lemah: Sering terjadi, penulis mengambil jalan pintas dengan cara memasukkan teknik pengulangan secara mentah dan lemah. Teknik ini boleh memakan diri jika tidak dipraktik sebaiknya. Contoh teknik pengulangan lemah:

Kini kukembali ke desa asal
tanah yang hijau
tanah yang subur
tanah yang permai.

Perhatikan pengulangannya yang terlalu simplistik, sekadar menukar perkataan akhir baris semata-mata tanpa memberi nilai tambah kepada makna atau keindahan puisi.

Soalan retorik yang lemah: Soalan retorik merujuk kepada soalan-soalan (ayat tanya) yang dikemukakan dalam puisi tanpa memerlukan jawapan. Sering dalam puisi, teknik ini digunakan berleluasa sekadar untuk memanjangkan puisi tanpa ada nilai tambah yang berkesan. Contoh retorik yang lemah:

Ketika malam kian sepi
Mengapakah hati ku gelisah?
Apa silap ku?
Di manakah teman-temanku dulu?
Yang pernah berkongsi suka
Yang pernah berbahagi duka

Keterletakan bunyi: Meskipun sajak moden mempunyai bentuk bebas, keterletakan bunyi memainkan peranan penting dalam mengindahkan bacaan puisi. Rima yang seragam penting, termasuk asonansi dan aliterasi. Sebagai contoh, baca lirik-lirik lagu yang baik (kebiasaannya lagu bersifat rap mempunyai lirik yang sangat baik dari segi keterletakan bunyi/rima).

Selesai Menulis


-          Penyuntingan puisi sama pentingnya dengan proses menulis puisi.
-          Selesai menulis, tinggalkan puisi anda seketika (beberapa hari) dan kemudian baca kembali untuk mencari sebarang kelemahan dan kekurangan, di samping menambah idea-idea baru.
-          Pastikan ejaan dan tanda baca turut disemak.


Hantarkan puisi anda ke tempat yang sewajarnya. Jangan biarkan ia menjadi artifak di bawah bantal!


(Nota: Sastera bersifat subjektif, catatan ini hanya panduan kasar tapi bukan peraturan yang mutlak)
Disediakan oleh Fahd Razy (Grup Karyawan Luar Negara)

No comments:

Post a Comment